Pages

Tuesday, 9 October 2012

mona fendi 12


Episode XXX "Keraguan Munasabah"

HANYA orang tidak siuman akan melakukan pembunuhan ngeri ke atas Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris yang dipotong kepada 18 bahagian.

Peguambela Gulam Mustaffa Nadar Ali Khan berkata, mengikut keterangan Juraimi ketika melakukan pembunuhan itu, dia tiada perasaan, hilang akal dan seperti sesuatu masuk ke dalam badannya.

Katanya, Mohd Affandi Abdul Rahman dan Maznah Ismail atau Mona Fandey dalam keterangan mereka pula menyatakan Juraimi seperti orang hilang pedoman dengan giginya terkancing ketika pembunuhan itu.



"Adakah di sini hendak dinyatakan kemungkinan Juraimi tidak siuman ketika itu?

"Di sini, saya meminta pihak juri memberi perhatian terhadap perkara ini," katanya ketika menggulung hujahnya di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995.

Menurutnya, hanya pakar atau psiktrik yang dapat menentukan keadaan Juraimi.

Bagaimanapun, katanya, tidak ada keterangan menyokong bahawa Juraimi tidak siuman atau tidak sedar seperti dalam keterangannya. Peguambela Affandi dan Mona itu juga mempersoalkan mengapa peguambela Juraimi tidak mengemukakan laporan mengenai keadaan tertuduh pertama yang diarah menjalani rawatan sakit jiwa di Hospital Kuantan, Oktober 1994.

Pada soalan ini, peguambela Karam Singh Bhal bangun membantah dan berkata, perkara itu telah diberitahu kerana Hospital Kuantan tiada kemudahan untuk menjalankan rawatan itu.

Ikmal Hisam Idris kemudian menambah, tujuan Juraimi dihantar ke hospital itu bukan untuk menentukan sama ada dia siuman atau tidak, tetapi bagi menguji tahap IQnya.

Gulam yang tidak puas hati dengan jawapan itu kemudian menyoal, mengapa tiada laporan mengenainya.

Pada peringkat itu, Hakim Datuk Mokhtar Sidin berkata, perkara itu telah diperjelaskan kepada semua peguambela dan timbalan pendakwaraya di kamarnya. Gulam kemudian berkata tiada laporan mengenainya. Hakim kemudian menjawab dengan nada marah: "Encik Gulam jangan berlagak, berlakon. Saya panggil semua orang dalam kamar saya dan jelaskan perkara itu.

"Saya kurang senang dengan kenyataan Encik Gulam, seolah-olah Encik Gulam diabaikan, tidak diberitahu langsung mengenainya."

Gulam kemudian berkata: "Maksud saya, mengapa tiada ada susulan pemeriksaan itu."

Ikmal kemudian bangun dan berkata: "Kami meminta mahkamah supaya pemeriksaan itu tidak diteruskan."

Peguambela Affandi dan Mona seterusnya berhujah.



Yang Arif dan juri, seperti yang telah saya katakan sebelum ini, sejauh mana kita hendak mempercayai keterangan Juraimi Husin. Ini terletak kepada keterangannya di mahkamah dan rakaman percakapan beramarannya yang menjadi barang kes.

Untuk menentukan kewibawaan Juraimi, saya membawa juri kepada beberapa perkara mengikut keterangannya di mahkamah dan rakaman percakapannya.

Dalam percakapan beramarannya, Juraimi ada memberitahu: "Lebih kurang seminggu sebelum pembunuhan, Haji Fendi (Affandi) telah beritahu saya supaya siap buat Datuk."

Dalam keterangannya, Juraimi berkata cadangan itu datang daripada Mona dan Affandi yang suruh buat persiapan.

Apabila disoal balas oleh saya, Juraimi berkata, bukan Mona tetapi Affandi yang arahkan.

Di sini, menimbulkan satu keraguan yang mana kita hendak pakai bagi membuat keputusan. Versi yang mana satu yang betul. Juraimi telah bercakap bohong. Di sini, dia tidak bercakap betul dan ini menimbulkan keraguan terhadap Affandi dan Mona.

Dalam keterangan di mahkamah, Juraimi berkata: "Saya tidak ada apa-apa rancangan dibuat olehnya. Affandi dan Mona tidak berbincang dengan saya dan saya sendiri tidak tahu."

Dalam percakapan beramaran, Juraimi kata: "Semuanya telah dirancang."

Ini adalah satu perancangan yang hebat dan saya minta juri mengambil kira perkara ini sedalam-dalamnya.

Pihak juri perlu memberi penilaian terhadap perkara ini dengan membandingkan percakapan beramaran dan keterangan Juraimi di mahkamah.

Bolehkah kita korbankan dua nyawa (Affandi dan Mona) dengan hanya mendengar keterangan daripada Juraimi?

Dalam keterangan mahkamah, pihak pendakwa bergantung semata-mata kepada keterangan Juraimi (pengakuan pembunuhan Mazlan dan rancangan membabitkan Mona dan Affandi).

Saya berani berkata tanpa keterangan Juraimi, tiada keterangan kuat atau prima facie bagi pihak pendakwa.

Dalam keterangan Juraimi ada berkata Affandi mengambil selimut dan bantal ke bilik air. Dalam percakapan beramarannya pula, Juraimi kata Mona ambil
selimut dan bantal ke bilik belakang. Lihatlah juri, percanggahan ini. Ini adalah satu lagi untuk kita menguji sejauh mana kewibawaan keterangan Juraimi. Hendakkah kita percaya keterangan Juraimi untuk korbankan dua nyawa.

HAKIM: Encik Gulam, jangan cakap untuk korbankan nyawa. Kita belum buat sebarang keputusan lagi.
(Gulam kemudian mengemukakan beberapa fakta dalam keterangan dan percakapan Juraimi yang bercanggah).

Affandi dan Mona telah menafikan bahawa mereka memberi arahan kepada Juraimi (untuk melakukan pembunuhan itu).

Yang Arif dan juri, saya ingin membawa kembali kepada perkara tidak sedar yang dibangkitkan oleh Juraimi ketika saya menyoal balasnya.

Juri, jika Juraimi tidak sedar bagaimana dia sedar ketika menerima arahan. Di sini tiada niat bersama. Di mana kedudukan niat bersama. Di sini, sukar untuk dinilai keadaan tidak sedar, hanya pakar dan psiktrik yang dapat membantu kita di sini (untuk menentukan keadaan Juraimi).

Tapi, kita tidak mendapat perkhidmatan mereka untuk menolong kita. Juraimi kata dia tidak sedar dua minggu sehingga disentuh oleh Affandi pada 22 Julai 1993.

Mengapa Juraimi tidak disentuh sekarang supaya Juraimi tidak boleh berkata apa-apa mengenai pembunuhan itu.

Kalaulah Affandi dan Mona mempunyai kuasa seperti itu sudah itu mereka menggunakan kuasa itu pada bila-bila masa.

Di sini, saya meminta juri berfikir, ini adalah sesuatu perkara yang pelik sekali. Adakah pengakuan Juraimi itu benar. Itu yang juri perlu fikirkan dengan teltiti tanpa keterangan pakar dan psiktrik.

Peguambela Juraimi yang bijaksana telah mencadangkan, Juraimi diberi minum segelas air jampi sebelum pembunuhan supaya Juraimi menurut arahannya. Affandi berkata tidak.

Ini satu tuduhan yang dilemparkan kepada Affandi, yang mana tidak berasas sama sekali. Jika Juraimi tidak sedar ketika melakukan pembunuhan, bagaimana dia boleh sedar ketika Affandi menyentuh badannya?

Ini semua cerita dongeng dan karut, alasan yang tidak berasas dan tidak boleh diterima sama sekali. Perkara tidak sedar dan diberi air jampi tidak timbul langsung dalam percakapan beramaran Juraimi. Ini fakta, bukan saya
merepek di sini.

Mengapa tidak sebut kerana perkara ini tidak berlaku langsung. Ini adalah rekaan yang datang daripada pembelaan Juraimi. Apabila saya soal balas mengapa tidak sebut, Juraimi berkata dia terlupa, tak ingat.

Saya katakan perkara tidak sedar dan disentuh ini, sengaja diada-adakan untuk menyelamatkan dirinya. Dalam keadaan tidak sedar, Juraimi boleh menetak tepat ke leher Mazlan. Jika dalam keadaan tidak sedar Juraimi menetak leher Mazlan, tentu Affandi dan Mona sudah habis. Juraimi hentam saja, tetak di mana-mana tubuh Mazlan, tak perlu tumpu pada leher.

Di sini saya mahu juri membuat pertimbangan kerana keterangan Juraimi bahawa dia tidak sedar datang dari dirinya sendiri. Tiada keterangan sokongan seperti daripada pakar atau psiktrik. Sudah tentu jika dia tidak sedar, Juraimi akan tetak di mana-mana. Ini tidak, jasad dipotong kepada 18 bahagian, lebih bijak dari pakar bedah atau tukang potong daging.

Affandi ada berkata: "Kita semua habis." Affandi berkata demikian dengan secara spontan kerana perbuatan Juraimi, kami semua terbabit.

Dalam keterangan Affandi, dia ada berkata Juraimi berkata kepadanya:"Bapa dan ibu hanya ada, tapi saya yang buat." Ini bermakna kejadian pembunuhan itu telah berlaku tanpa niat bersama oleh Affandi dan Mona.

Percakapan beramaran Affandi telah diambil pada 23 Julai 1993, sehari selepas ditahan polis. Affandi tidak mempunyai masa untuk mereka-reka cerita ketika memberi percakapan beramaran itu.

Jadi apa yang berlaku ke atas Affandi dan Mona seperti yang diceritakan dalam percakapan beramaran itu adalah benar. Tiap-tiap alasan pihak pembela ialah Juraimi tidak sedar, tanpa keterangan menyokong. Alasan yang diberikan Juraimi adalah sesuatu untuk membebaskan dirinya sendiri.

Kalaulah dengan menggunakan taktik ini dan telah menerima arahan dia tidak bersalah dan dibebaskan, tidak selamat kita semua. Juraimi boleh melakukannya lagi dan menggunakan taktik yang sama.

IKMAL: Yang Arif, tuduhan itu tidak adil.

HAKIM: Encik Gulam, berlaku adil.

GULAM: Dalam keadaan sama ada Juraimi sedar atau tidak, sama ada dia siuman atau tidak, mahukah juri sama sekali percaya dengan keterangannya, mahukah mengorbankan kedua-dua nyawa (Mona dan Affandi).

HAKIM: Bagaimana dengan nyawa tertuduh pertama?

GULAM: Mahukah juri korbankan ketiga-tiga nyawa, jika betul Juraimi tidak sedar.

Oleh sebab tiada keterangan sokongan atau bukti dari pakar dan psiktrik, kita tidak boleh terima keterangan Juraimi.

Pihak pendakwa gagal membuktikan satu kes pembunuhan terhadap Affandi dan Mona tanpa sebarang keraguan. Sekarang saya pergi kepada motif pembunuhan. Kita tidak ada satu pun keterangan bahawa Affandi dan Mona telah mengambil wang milik Mazlan yang ditunaikan pada 2 Julai 1993.

Pihak pendakwa cuba mengaitkan pembelian barang kemas, perabot dan kereta oleh Affandi dan Mona dengan wang RM298,850 yang ditunaikan oleh Mazlan pada hari itu. Kita tidak ada bukti sama ada wang yang dibayar oleh Affandi dan Mona untuk pembelian barang itu diambil dari Mazlan.

Di sini kita tidak boleh kata motif Affandi dan Mona beri arahan kepada Juraimi supaya membunuh Mazlan kerana wang. Sebaliknya Affandi dan Mona memang mempunyai wang RM400,000 sejak tinggal di Petaling Jaya (pada 1992) dan RM500,000 lagi cengkeram penjual tongkat, songkok dan
azimat kepada Mazlan.

Keterangan ini tidak dipatahkan oleh mana-mana pihak Berkaitan dengan RM298,850, wang itu telah diagih-agihkan kepada ahli Umno ketika mesyuarat oleh Mazlan secara sulit pada malam kejadian terbabit. Pendakwa tidak ada keterangan yang mereka menggunakan duit Mazlan. Angka-angka itu diberikan oleh pegawai-pegawai bank yang memberi keterangan di mahkamah.

Kita juga mempunyai cukup keterangan Affandi dan Mona hidup mewah. Ini berdasarkan keterangan Mona dan Affand sendiri, serta abang Mona, Tengku Yahya Tengku Abdullah dan abang Affandi, Azmi.

Mengenai mengapa Affandi dan Mona tinggal di rumah buruk di Tanjung Lumpur, Kuantan, itu tidak menjadi persoalan. Itu terpulang kepada budi bicara seseorang, ada orang tidak suka menunjuk-nunjuk. Orang kampung pun tidak menunjuk-nunjuk, tapi ada banyak harta. Begitu juga dengan mengapa mereka ada kereta kecil. Itu juga terpulang kepada budi bicara.

Bagi mereka cukup hidup mewah dengan tinggal dan makan di hotel-hotel. Affandi dan Mona tidak rancang untuk membunuh Mazlan, jika mereka rancang sudah tentu Affandi tidak mahu mendedahkan dirinya pada hari pembunuhan itu.

Affandi mengikuti Mazlan ke Kuala Lumpur, jumpa adik Mazlan, jumpa anak bekas Menteri Besar, pergi mesyuarat Umno dan jumpa ahli-ahli Umno. Jika mereka merancang untuk bunuh Mazlan sudah tentu Affandi tidak mendedahkan dirinya kepada orang ramai.

Tiada keterangan menyatakan Juraimi dipaksa atau diugut supaya membunuh Mazlan. Tiada keterangan Affandi dan Mona mengambil bahagian dalam pembunuhan itu, mereka berada di situ cuma untuk menjalankan upacara mandi bunga.

Saya katakan bagi pihak pembela Affandi dan Mona telah menimbulkan keraguan. Mereka tidak berniat bersama untuk membunuh Mazlan. Mereka tidak harus didapati bersalah mengikut Seksyen 302. Mereka harus dilepas dan dibebaskan.

Sekian hujah saya.

Lepas ni hujah pendakwa.

No comments:

Post a Comment