Pages

Friday 4 May 2012

sedikit ulasan tentang kemenangan kelantan

Kelantan Ajar Sang Singa Erti Bolasepak Sebenar


Finalis Piala FA, Kelantan membuktikan betapa mereka berada di kelas tersendiri apabila bersahaja menjinakkan pendahulu Liga Super, Lions XII, 3-0 di laman sendiri sebentar tadi.

Nyata, reputasi Lions selaku pendahulu liga dengan kelebihan 5 mata sebelum sepak mula perlawanan bukanlah sesuatu yang bisa menggentarkan pahlawan The Red Warriors yang mengajar anak buah V.Sundramoorthy erti bolasepak sebenar dengan memperaga aksi bolasepak menghiburkan sekaligus menghadiahkan kekalahan ketiga keempat dan terbesar musim ini buat pasukan dari negara jiran itu.

Tiga gol cantik, satu masing-masing jaringan S.Chanturu, Norfarhan Mohd dan pemain pertahanan, Rizal Fahmi Rosid sudah cukup untuk Kelantan berpesta malam ini, seterusnya mengurangkan defisit mata kepada hanya dua, selain memiliki kelebihan tiga perlawanan dalam tangan.





Dikenali sebagai pasukan yang cukup ampuh di barisan pertahanan, Lions sebenarnya terjerat dengan taktikal yang memakan diri apabila tersilap menduga akan kekuatan jentera serangan skuad Kelantan yang turun tanpa kelibat Mahmoud Ghaddar – sebaliknya empat serangkai di barisan depan diketuai Norsharul Idlan dan Norfarhan, dibantu aksi lincah Nurul Azwan dan Chanturu bergilir mengucar-kacirkan pertahanan mereka.

Gol Chanturu pastinya layak dinobat antara yang tercantik dalam saingan liga musim ini, sepakan akrobatik selepas menerima hantaran lambung Norsharul, manakala Norfarhan dengan sentuhan penyudah tenang sekaligus menambah pening kepala Bojan Hodak di dalam mencatur kesebelasan terbaik untuk perlawanan akan datang. Rembatan bak peluru Rizal, pastinya mengingatkan kita kepada pemain dengan gelaran ‘Keto Keba’ Kelantan suatu masa dahulu, Roslisham Mohd Nor (juga no.17).

Menariknya, tiada seorang pun dari 10 pemain tempatan di atas padang - baik Awe mahupun Chanturu, baik Shakir mahupun Badri Razi, baik Norsharul mahupun Norfarhan, baik S.Subramaniam, Farisham Ismail  mahupun Rizal Fahmi layak untuk dipanggil ke kem kebangsaan (kalau dipanggil pun duduk di bench sahaja), namun mereka berupaya menjinakkan lawan yang skuad Rajagobal tercungap-cungap untuk tundukkan (walaupun ini bukan full skuad Singapura).
Kredit buat Bojan yang mana bertindak bijak menyusun line-up serba menjadi dengan taktikal menyerang yang sebenarnya hampir membuahkan hasil seawal minit keempat menerusi sepakan penalti yang gagal disempurnakan Norsharul – malah rindu peminat TRW untuk menyaksikan kelibat penyerang kesayangan mereka 7 tahun lalu, Azlan Ismail juga terubat apabila pemain itu akhirnya mempamer aksi pada minit akhir permainan.

Apapun, skorline mungkin berbeza jika tidak kerana ketangkasan Khairul Fahmi Che Mat di gawang Kelantan, sekaligus membuktikan kredibilitinya selaku penjaga gol nombor satu negara. Khairul Fahmi atau Apek, menyelamatkan sekurang-kurangnya 3 percubaan on target lawan, dan meyakinkan ramai betapa dia sudah kembali ke kemuncak prestasi selepas sekian lama tersisih akibat kecederaan.

Kelantan bagaimanapun pastinya sedar dengan aksi konsisten yang ditunjukkan ketika ini, harapan peminat bukan sahaja tertumpu di dalam misi mempertahankan kejuaraan Liga Super dengan baki 11 perlawanan untuk diharungi, tetapi juga misi penting menjulang Piala FA dalam percubaan ketiga mereka dalam tempoh empat tahun – selepas gagal pada 2009 dan 2011.

Tatkala lawan yang menanti di final – Sime Darby – boleh dilabel sebagai underdog, Bojan pastinya tidak mahu tersilap menduga kekuatan skuad Giant Killer dari Liga Perdana itu, dan apa yang dituntut pastinya aksi bertenaga dari kesemua pemain, dalam usaha mereka mencatat sejarah baru bolasepak tanah air, sekaligus membuktikan betapa anasir-anasir luar tidak sedikitpun mengugat fenomena bolasepak di Kelantan.  

No comments:

Post a Comment