Pages

Tuesday 9 October 2012

mona fendi 11


Episode XXVIII "Jujur"


PEGUAMBELA Ikmal Hisam Idris yang membela tertuduh pertama dalam perbicaraan kes bunuh bekas Adun Batu Talam, Juraimi Husin, menggulung hujahnya di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995 :

Di dalam kes yang berada di depan kita ada dua isu yang perlu penjelasan dan keterangan lanjut.

Isu pertama dalam kes ini adalah sama ada Orang Kena Tuduh (OKT) pertama (Juraimi) mempunyai niat bersama seperti yang diterangkan dalam Seksyen 34 Kanun Keseksaan untuk melakukan pembunuhan ke atas bekas Adun Batu Talam, Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris bersama-sama dengan OKT kedua (Mohd Affandi Abdul Rahman) dan OKT ketiga (Maznah Ismail atau Mona Fandey).

Isu kedua ialah adakah pembunuhan itu yang dilakukan oleh Juraimi menyebabkan OKT pertama dijatuhi hukuman di bawah Seksyen 302 kanun yang sama jika sabit kesalahan. Kata kunci di sini adalah niat yang membawa maksud hajat atau tujuan.

Apabila kita mengatakan hajat atau tujuan ianya membawa erti pula kepada sesuatu yang akan diperolehi atau didapati sebagai imbuhan niat itu. Ia mestilah mempunyai rantaian penyebab atau 'chain of causationer'. Sebagai contoh, dalam kes ini niat membunuh Mazlan mempunyai rantaian iaitu untuk membolot harta serta wang ringgitnya.

1. Persoalannya apakah niat Juraimi membunuh Mazlan?

2. Adakah Juraimi mendapat keuntungan daripada pembunuhan itu?

3. Apakah natijah pembunuhan itu terhadap Juraimi?

Persoalan ini telah pun dijawab oleh saksi pendakwa dan pembela.

Juraimi tidak mempunyai sebarang niat jahat untuk membunuh Mazlan. Niat jahat hanya ada pada Affandi dan Mona saja. Ini jelas kerana daripada keterangan saksi pendakwa ke-20, Azmi Abdul Rahman yang mengatakan
dia diminta menubuhkan syarikat dan memindahkan geran tanah milik Mazlan. Segala transaksi itu langsung tidak membabitkan Juraimi.

Saksi pendakwa ke-21, Mohd Nashir Hussein dan saksi ke-22, Kong Foo Mun serta saksi ke-33, Abdul Latiff Ahmad mengesahkan nama Juraimi tiada dalam apa-apa transaksi yang diuruskan oleh mereka.

Saksi pendakwa ke-24, pakar bedah plastik, Dr Wong Kang Seng mengatakan Mona ada menjalankan pembedahan plastik untuk kecantikan. Perbelanjaan ini adalah hasil dari wang yang diperolehi daripada Mazlan, sedangkan OKT pertama ditinggalkan di (Kampung Peruas) Ulu Dong, dalam keadaan yang serba kekurangan dan daif.

Saksi ke-28, Tengku Yahya Tengku Abdullah juga mendapat nikmat daripada Affandi dan Mona. Di sini jelas menunjukkan individu yang tidak ada kena
mengena mendapat keuntungan seperti Azmi dan Tengku Yahya. Jika OKT pertama mempunyai kepentingan bersama OKT kedua dan ketiga, sudah tentu Juraimi tidak ditinggalkan dalam serba kekurangan.

Ini jelas bahawa Juraimi telah digunakan oleh OKT kedua dan ketiga. Saksi ke-39, Tan Teck Seng, seorang pemandu yang baru dikenali juga mendapat nikmat. Dia telah dijemput untuk menjadi rakan kongsi untuk perniagaan kereta terpakai oleh Affandi, sedangkan OKT pertama langsung tidak dipedulikan.

Demikian juga dengan saksi pendakwa lain yang mengatakan bahawa Affandi dan Mona membelanjakan banyak wang ringgit untuk kepentingan mereka berdua serta bermewah-mewah.

Sedangkan Juraimi hanya diberi pada mula RM180 dan kemudian RM1,500, yang mana RM1,000 untuk beli makanan itik dan RM500 untuk makannya. Di sini jelas dilihat taraf permakanan itik adalah lebih tinggi dan baik daripada taraf Juraimi sendiri.

Oleh yang demikian apakah niat Juraimi membunuh Mazlan?

Saya berhujah OKT pertama membunuh Mazlan tanpa sebarang niat kerana Maxim `Actus non facit reum nisi men sit rea' tidak ada pada OKT pertama.

`Men rea, guilty mind' atau suatu pemikiran jahat adalah penting dalam kes jenayah, tetapi ini tiada pada Juraimi.

Walaupun dalam kes bunuh, motif tidak penting, tetapi motif adalah penting untuk menentukan sama ada OKT pertama bersalah mengikut Seksyen 302 atau Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Juraimi ketika melakukan pembunuhan itu berada dalam keadaan yang dia sendiri tidak dapat mengawal perbuatannya. Juraimi telah mengatakan dia tidak sedar apa yang dilakukannya sebelum kejadian (malam pembunuhan pada 2 Julai 1993) dan hanya sedar semula setelah Affandi berjumpa dan menyentuhnya dia di Balai Polis Raub pada 22 Julai 1993.

Di mana OKT pertama secara spontan dan sukarela memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis seperti keterangan saksi ke-56, Penolong Penguasa Mahpop Jaafar.

Keterangan yang mengatakan Affandi menyentuh Juraimi disokong oleh saksi pendakwa ke-57, Timbalan Penguasa Takbir Ahmad Nazir Mohd.

Keterangan ini nampak mudah, tetapi penting untuk menunjukkan bahawa OKT pertama adalah di bawah kuasa OKT kedua kerana ini dibuktikan sendiri oleh Affandi dalam keterangannya. Affandi dengan bangga mengatakan bahawa dia telah memberi air jampi kepada OKT pertama, lalu Juraimi boleh bersilat.

OKT kedua berkata lagi, dengan minum air jampi seseorang itu tidak boleh membuka langkahnya sendiri ikut sesuka hati. Affandi juga berkata bahawa dengan sekali sentuh OKT pertama boleh menidurkan ayam.

Apabila ditanya dalam pemeriksaan balas, adakah untuk memulihkan semula ayam ini juga perlu disentuh Affandi menjawab, ya.

Untuk itu, mahkamah mestilah melihat perkara ini dalam skop yang lebih luas iaitu adalah dipercayai sebelum kejadian OKT kedua telah memberi air jampi kepada OKT pertama, supaya Juraimi menurut saja apa yang diarahkan kepadanya.



Affandi turut menyentuhnya supaya lupa apa yang berlaku sehinggalah disentuh sekali lagi pada 22 Julai 1993, yang mana OKT pertama sedar semula.

Menurut Mahpop, pada 19 Julai 1993, dia ke tempat kejadian bersama OKT pertama, tetapi Juraimi sendiri tidak tahu apa tujuan dibawa ke sana. Pada hari itu, Mahpop mengambil pita video dan sijil-sijil saham yang disimpan dalam laci almari besi kepunyaan Affandi, tanpa ditunjuk Juraimi.

Mahpop apabila ditanya Gulam, berkata Juraimi tidak memberi kerjasama seperti 22 Julai 1993. Apabila saya menyoal balas Mahpop sama ada OKT pertama patuh kepada OKT kedua, saksi ke-56 itu bersetuju.

Ini membuktikan bahawa OKT pertama adalah di bawah kuasa OKT kedua.

Saksi ke-39, Tan Teck Seng juga mengatakan Juraimi patuh kepada Affandi.

Keterangan OKT pertama adalah apa yang sebenarnya berlaku dan dia adalah seorang saksi jujur berbanding keterangan OKT kedua.

Episode XXIX "Gila"

PEGUAMBELA Ikmal Hisam Idris yang membela tertuduh pertama dalam perbicaraan kes bunuh bekas Adun Batu Talam, Juraimi Husin, meneruskan hujah penggulungan di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995.

Keterangan OKT pertama adalah apa yang sebenarnya berlaku dan dia adalah seorang saksi jujur berbanding keterangan OKT kedua, Mohd Afandi Abdul rahman.

OKT kedua mempunyai trend yang bahaya dan perlu penapisan yang cukup teliti kerana sentiasa cuba mengelak serta menangkis kebanyakan soalan yang dikemukakan kepadanya, dengan melemparkan beban kepada OKT ketiga dan pertama. Malah beban itu juga dilemparkan kepada peguamnya sendiri.

Hampir keseluruhan keterangan Affandi adalah satu pembohongan dan OKT kedua mahu mahkamah mempercayai keterangannya.

OKT kedua juga mengakui mahu menjual kereta milik Mazlan bernombor pendaftaran CAA 5115, tetapi berkenaan songkok, tongkat dan azimat tidak dijual kerana bukan haknya, tapi hak mangsa (Mazlan). Keterangan ini bercanggah di antara satu sama lain.

OKT kedua juga berkata, pada 6 atau 7 Julai 1993, dia bersama OKT ketiga, anak mereka (Mazdiana Affendy), Tengku Yahya dan Simon (Tan Teck Seng) ke tempat kejadian semula untuk mengambil dokumen Mona.

Pemergian sebenar OKT kedua dan ketiga ke sana untuk memastikan semua arahan Affandi dan Mona kepada Juraimi telah dipatuhi sepenuhnya. Ini kerana telah menjadi satu trend kepada semua penjenayah untuk melawat kembali tempat kejadian bagi memastikan semua bukti yang boleh mengaitkan si penjenayah itu dihilangkan atau dikenali sebagai `Doctrine of Lapse'.

Ini dapat dilihat pada barang kes P22 (rakaman percakapan beramaran Mona) pada muka 31 para 50, di mana OKT ketiga mengatakan "Kami berada di Ulu Dong kira-kira satu jam sahaja. Sebenarnya tujuan kami balik untuk periksa keadaan rumah dan Gondrong (Juraimi) tentang kematian Datuk Mazlan".

Pada muka 28, para 43 baris lima, OKT ketiga mengatakan "Ketika itu saya nampak Affandi berpaling kepada Gondrong sambil memberi isyarat kepadanya dengan mengarahkan matanya supaya Gondrong jalankan kerjanya. Saya nampak Gondrong memegang kapak dan terus `dum' ke leher Datuk Mazlan."

Keterangan OKT ketiga dari kandang orang kena tuduh juga tidak patut diambil kira oleh mahkamah, sebaliknya rakaman percakapan beramaran Mona mestilah diterima.

Sebelum 22 Julai 1993, Juraimi adalah dalam keadaan tidak boleh berfikir dengan waras dan tidak boleh mengetahui sebab serta akibat daripada perbuatannya serta tidak boleh mengawal pergerakan dirinya sendiri.

Dia telah menjadi seperti robot kepada OKT kedua dan ketiga. OKT pertama juga dijadikan tempat untuk membuang segala bebanan kerja jahat OKT kedua dan ketiga.

Perancangan ini dapat dilihat daripada mereka masih di Kuantan lagi yang mana semua bil diletak atas nama Juraimi, setelah dia tidak lagi diperlukan, OKT pertama ditinggalkan untuk menghadapi apa-apa saja yang bakal menimpa dirinya.

Menurut keterangan saksi pembela ke-4, Sarjan Masara Yuasuap keadaan OKT pertama ketika ditahan adalah seperti seorang penagih dadah kerana berada dalam keadaan khayal, mata merah berair, bercakap tak tentu arah, rambut panjang paras bahu, muka cengkung, badan kurus dan pakaian
lusuh dan kotor.

Ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwaraya Zakaria Sam, Masara mengatakan OKT pertama kurang normal dan ada masa kita bercakap dengan dia, dia diam dan ada masa dia tak faham apa kita cakap.

Masara juga memberi keterangan pada masa ini Juraimi nampak gemuk, rambut pendek, muka dia cerah dan pakaian kemas. Keterangan saksi pembela ke-6, Sarjan Mejar Mashood Yaacob juga sama dengan keterangan saksi pembela ke-4, yang mana saksi ke-6 berkata, OKT pertama bermata kuyu, badan kurus, berambut panjang serta berpakaian lusuh dan kotor.

Mahpop juga berpuas hati OKT pertama ditangkap atas alasan dadah kerana keadaan Juraimi ketika itu seperti penagih dadah. Menurut keterangan Masara dan OKT pertama, OKT pertama ke Balai Polis Dong sebanyak dua kali (pada 13 Julai 1993).

Juraimi berkata, pada kali pertama beliau dibawa ke Balai Polis Dong dengan sebuah landrover polis dan kemudian dilepaskan kerana OKT pertama hendak beri makan burung dan itik, serta pegawai juga tiada.

OKT pertama disuruh datang pada jam 7 malam. Juraimi agak terlewat dan menelefon Balai Polis Dong dari Kampung Pamah Kulat mengatakan dia terlewat sedikit.

Kedatangan kali kedua ini bolehlah dikatakan sebagai serah diri dan OKT pertama tidak gentar atau takut ke Balai Polis Dong kerana ini jelas menunjukkan dia tidak tahu apa sebenarnya berlaku.

Sekiranya OKT pertama tahu apa yang telah dilakukannya itu menyalahi undang-undang, ketika dilepaskan kali pertama itulah peluang yang sehabis baik untuk dia melarikan diri.

Jelas bahawa Juraimi, tidak mempunyai sebarang motif, niat dan tujuan berkaitan dengan tragedi kejadian itu. Memandangkan kepada keterangan yang ada, OKT pertama tidak boleh disabitkan kesalahan membunuh dengan niat bersama yang mana boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tetapi Juraimi mestilah dihukum mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Dari segi perlakuan, OKT pertama adalah seorang pendiam, sabar, tidak pernah menyakiti hati orang, tidak pernah didakwa di mana-mana mahkamah sebelum ini dan orang kampung tidak pernah mengadu apa-apa hal yang tidakbaik terhadapnya. Demikian yang diterangkan oleh saksi ke-3 pembela, Husin Jamaluddin.

Saksi pendakwa ke-58, Noraini Abdul Rahman juga menyokong pandangan ini dengan mengatakan Juraimi adalah seorang yang baik dan pendiam. Kebenaran ini juga disokong oleh Affandi sendiri yang berkata, OKT pertama tidak banyak cakap, rajin serta tekun dan taat kepadanya.

Dengan keadaan inilah OKT kedua mengambil kesempatan untuk mempergunakan OKT pertama. OKT pertama juga mengatakan dia tidak mempunyai apa-apa dendam terhadap Mazlan. Dia juga tidak pernah bergaduh, bermasam muka atau menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Malah, hubungan OKT pertama dengan Mazlan macam biasa saja. Juraimi juga tidak mempunyai apa-apa urusan dengan Mazlan, baik dari segi perbadi mahupun perniagaan. OKT kedua juga mengatakan setahunya OKT pertama tidak ada apa-apa perselisihan faham dengan Mazlan. Oleh demikian dengan bukti serta autoriti yang telah dijelaskan, adalah dengan ini dihujahkan bahawa OKT pertama tidak ada langsung niat bersama untuk membunuh Mazlan dan ketika Juraimi menetak leher Mazlan, dia melakukannya dalam keadaan tidak sedar yang menyebabkannya tidak tahu akibat serta natijah daripada perbuatannya dan oleh itu dia patut dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

sikit je lg...kredit


No comments:

Post a Comment