Sekularisme, merupakan
satu ideologi terkini yang mencakupi skop fahaman dan perbincangan yang sangat luas. Sebagai memudahkan pemahaman tentang apa yang
dikatakan dengan sekularisme, terlebih dahulu perlulah kita mengetahui apakah
pokok perjuangan utama dalam fahaman sekularisme ini. Perjuangan utama sekularisme ini berkaitan
dengan urusan keduniaan yang mesti dipisahkan daripada hal-hal keagamaan
seperti politik, ekonomi, social, pentadbiran, dan undang-undang. Oleh itu, jelaslah bahawa perbincangan
tentang sekularisme mencakupi skop dan ruang legar kehidupan dunia yang
bertumpukan kepada persoalan kebendaan semata.
Selain itu juga, sekularisme juga turut memperjuangkan hak kebebasan
mutlak setiap individu daripada peraturan dan ajaran agama yang dilaksanakan
oleh pihak pemerintah dalam sesebuah negara.
Apakah yang dimaksudkan dengan sekularisme?
Apakah definisi yang sesuai untuk dikatakan bahawa sesuatu perkara atau situasi
itu sebagai satu bentuk sekularisme?
Perkataan
dasar sekularisme ialah sekular yang berasal daripada perkataan Latin iaitu ‘saeculum” yang membawa maksud masa dan
tempat. Manakala sekular pula merujuk
kepada masa ialah masa sewaktu kita menjalani kehidupan. Manakala tempat pula merujuk kepada kehidupan
dunia atau dunia yang nyata (J.A. Amurray & H. Bradley 1994).
Fahamlah kita disini bahawa
kehidupan secara secular mesti berfokuskan kepada kehidupan dunia yang sempurna
untuk kesejahteraan dunia yang tidak ada kaitan dengan hari akhirat atau
pembalasan. Secular juga memberi penjelasan
yang bermaksud pemisahan antara zahir dan batin, fizikal dan spiritual, rohani
dan jasmani. Pemisahan seumpama ini
menggambarkan secular sebagai satu istilah negative yang ditujukan kepada
kehidupan yang berasaskan panduan agama.
Malah menurut St Edmund 1290, secular ini hanyalah bertujuan untuk
melahirkan kehidupan tidak beragama, bukan beragama atau tidak kudus. Tegasnya lagi sekularisme merupakan satu
fahaman yang berkaitan dengan pemisahan secara mutlak antara agama dengan
dunia.
(SEKULARISME ANTARA TIMUR DAN BARAT, DAN PENENTANGAN SERTA PENGASINGAN KUASA GEREJA)
Tidak
menghairankan jika fahaman sekularisme mendapat tempat di barat. Ini berpunca
dari pengongkongan gereja dan tindakannya menyekat pintu pemikiran dan penemuan
sains. Ia bertindak ganas lagi dengan menguasai akal dan hati manusia, dengan
erti kata lain segala keputusan adalah di tangan pihak gereja dengan mengambil
kesempatan mengaut keuntungan dari pengikutnya dengan cara yang salah.
Eropah
pernah tenggelam dengan darah mangsa-mangsa pihak gereja apabila ratusan malah
ribuan orang mati di dalam penjara dan di tali gantung. Dengan sebab ini
berlakulah pertembungan antara gereja dan sains yang akhirnya tertegaklah
fahaman sekularisme yang bererti "memisahkan agama (kristian) dari
negara". Suasana kacau bilau dalam agama kritian hasil penyelewengan yang berlaku
dalamnya (-ia berpunca dari perancangan yahudi-) memungkinkan tertegaknya
fahaman sekularisme di samping agama kristian yang sedia ada. Sekularisme
disebarkan untuk keluar dari kepompong gereja yang begitu teruk mengongkong
pengikutnya. Masyarakat Eropah tertekan dan dizalimi di bawah pemerintahan
gereja. Bagi pejuang sekular, mereka
menganggap dengan berada di bawah kuasa gereja mereka tidak akan mencapai
kemajuan. Sebab itulah mereka memutuskan tali ikatan diri mereka dengan gereja
dan menjadi orang yang beragama kristian hanya pada nama tidak pada pengamalan
agama.
Sekularisme
adalah suatu kepercayaan atau fahaman yang menganggap bahawa urusan keagamaan
atau ketuhanan atau gereja tidak harus dicampurkan dengan urusan negara,
politik dan pentadbiran. Ringkasnya sekularisme adalah satu fahaman yang
memisahkan antara urusan agama dan kehidupan dunia seperti politik,
pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Yang jelas menurut faham
sekular, soal bernegara, berpolitik, berekonomi dan sebagainya tidak ada kaitan
dengan soal agama atau gereja.
Apabila
fahaman sekularisme ingin dipindakan dari barat ke timur, golongan ini tidak
menyedari (secara sengaja atau tidak) suasana di timur yang berpegang kuat
dengan agama Islam. Sudah pasti ia tidak sekali-kali merelakan pemisahan agama
(Islam) dari negara. Keadaan dalam Islam tidak sama dengan apa yang terjadi
dalam kristian di mana sepanjang sejarah Islam tidak ada penzaliman terhadap
penganutnya. Begitu juga Islam tidak membenarkan pemisahan agama (Islam) dari
negara kerana negara mengikut fiqh Islam ialah sebahagian dari agama bukannya
satu perkara yang berasingan. Dalam Islam, tidak mungkin tertegaknya agama
(dengan sempurna) tanpa negara (yang boleh menguatkuasakan undang-undang agama)
dan tidak mungkin tertegaknya negara (tanpa kacau bilau) jika tidak ada agama
(yang boleh memandunya).
Al-Syahid
Hasan al-Banna dalam "Majmu'ah Rasa'il" menegaskan bahawa Islam
merupakan sistem sempurna yang merangkumi urusan kehidupan manusia semuanya. Ia
merangkumi negara, kerajaan, rakyat, akidah, syariat, akhlak, ekonomi,
keadilan, undang-undang, ilmu, jihad, dakwah, tentera dan lain-lain. Pendek
kata tidak ada perkara yang dibiarkan melainkan Islam merangkuminya. Al-Quran
sendiri telah menggariskan beberapa dasar umum untuk umat Islam dalam memandu
kehidupan mereka. Sebagai contoh dalam bidang akidah (lihat surah Al-Imran ayat
19), bidang ibadat (lihat surah Al-Baqarah ayat 43), bidang sosial (lihat surah
Al-Baqarah ayat 188), bidang politik (lihat surah Saba' ayat 15), bidang
undang-undang perlembagaan (lihat surah Al-Nisa' ayat 59) dan juga
bidang-bidang yang lain.
Islam
tidak sekali-kali membenarkan penyebaran fahaman sekularisme di sampingnya dengan membahagikan tugas antara
keduanya iaitu, Islam hanya berfungsi di dalam urusan akidah dan sekularisme
pula berfungsi di dalam urusan syariat. Perkara ini tidak mungkin terjadi
kerana Islam merupakan satu agama yang terkandung di dalamnya akidah dan
syariat sekaligus dan ia tidak
membenarkan pemisahan ini dilakukan seperti mana Islam tidak membenarkan
tuhan-tuhan lain ditaati dalam bidang syariah seperti ditaatinya Allah dalam
bidang akidah. Allah telah menegaskan dalam al-Quran bahawa agama yang
diredhainya hanyalah Islam yang suci. FirmanNya yang bermaksud, "Sesungguhnya
al-Din (agama) yang diterima di sisi Allah hanyalah Islam", surah Al-Imran
ayat
19.
Jadi
untuk menyamakan Islam dengan agama kristian dan percubaan memasukkan fahaman
sekular ke dalam Islam adalah satu kesilapan dan jenayah yang besar. Islam tidak
seperti kristian kerana Islam datang dari Pencipta manusia iaitu Allah s.w.t,
ia selamat dari cacat cela. Kristian pada asalnya agama tauhid tetapi telah
diselewengkan oleh paderi-paderi untuk kepentingan mereka. Sekularisme bukan
berasal dari Islam dan Islam berlepas tangan dari fahaman kufur ini dan tidak
ada kena mengena dengannya. Sesiapa sahaja daripada umat Islam yang
mengagungkan sekularisme iaitu dengan menganggap untuk maju tidak perlu beramal
dengan Islam maka boleh membahayakan akidahnya.
Sekularisme
bukan hanya sekadar berpandangan politik suku agama suku tetapi dengan
menyempitkan ruang lingkup agama, itu juga termasuk dalam sekularisme seperti
beramal dengan Islam secara separuh. Apa yang memberi keuntungan dan kemudahan
diterima pakai manakala yang mendatangkan kesusahan ditolak tepi.
Sebab
itulah perbuatan ini ditempelak oleh Allah melalui firmanNya surah al-Baqarah
ayat 85, maksudnya : "adakah kamu percaya (beriman) kepada sebahagian
kandungan Kitab (al-Quran) dan ingkar akan sebahagiannya? Sebaliknya Allah
memerintahkan agar menerima Islam secara keseluruhannya melalui firmanNya surah
al-Baqarah ayat 208 yang bermaksud, "wahai orang-orang yang beriman,
masuklah kamu ke dalam keseluruhannya".
(CARA-CARA
PENYEBARAN SEKULARISME)
Semenjak
penjajah barat meletakkan kaki mereka ke bumi umat Islam, mereka berusaha
sedaya upaya untuk menyebarkan fahaman sekularisme ini melalui pelbagai cara.
Dengan keupayaan ilmu dan teknologi yang dimiliki serta pengalaman, mereka
berjaya melaksanakannya. Cara-cara penyebaran fahaman sekularisme ini
dilaksanakan melalui bidang pendidikan, media massa dan undang-undang.
Tujuannya hanyalah untuk menjauhkan umat Islam dari agamanya.
(PENYEBARAN
SEKULARISME MELALUI PENDIDIKAN)
Antaranya
ialah :
1.
Menyekat pengajian agama Islam secara material dan moral.
i.
Sekatan secara material dilakukan dengan membuka pintu seluas mungkin kepada
pengajian yang kosong dari ruh agama Islam (pengajian yang jauh dari penekanan
agama). Pengajian sebegini akan dibantu dan dibangunkan serta diberi kemudahan
dari segi material. Adapun pengajian agama Islam disempitkan bantuan kewangan
ataupun tidak dibantu lansung. Sebarang bantuan lebih dicurahkan kepada
pengajian sekularisme.
ii.
Sekatan secara moral ialah dengan memperlekehkan golongan penuntut agama dan
tuan-tuan guru mereka. Membeza-bezakan antara guru-guru agama dan guru-guru
subjek lain dalam setiap keadaan memang satu perkara yang disengajakan. Begitu
juga membeza-bezakan antara lepasan bidang agama dan lepasan bidang-bidang
lain. Dari segi jawatan pula, lepasan bidang agama tidak banyak mendapat
peluang disamping ganjaran dan status yang dipandang rendah tetapi bagi lepasan
bidang-bidang lain agak mudah mendapat peluang dengan habuan dan status yang
lumayan. Mereka ini akan tenggelam dalam "ketidaksedaran" dan akan
menyebabkan orang ramai tidak kira tua muda akan lari dari agama dengan
terpahat satu sikap dalam minda mereka iaitu "jika kita memilih bidang
agama ianya tidak akan ke mana dan tidak akan menjamin hidup", maka dengan
itu mereka lebih cenderung kepada pengajian bidang bukan agama.
Bukanlah
bermaksud di sini umat Islam tidak boleh mempelajari ilmu-ilmu selain dari ilmu
Islam. Malah sebenarnya tidak ada istilah ilmu "bukan Islam", seperti
kedoktoran, kejuruteraan dan sebagainya. Ia juga merupakan ilmu Islam. Yang
menjadi persoalannya ialah umat Islam telah diabaikan dari segi penekanan ilmu agama yang sepatutnya menjadi teras
kepada mereka. Tidak salah seorang muslim itu menjadi doktor, tetapi biarlah
dia menjadi doktor yang ada asas didikan Islam. Juga tidak salah seorang muslim
itu menjadi jurutera, tetapi biarlah menjadi jurutera yang ada asas didikan
Islam.
2.
Menghantar pelajar Islam ke negara-negara bukan Islam untuk belajar. Misi
penghantaran ini akan membuahkan hasilnya yang memang dinanti-nantikan iaitu
pelajar itu bertambah jahil dengan agama, nilai serta adat yang baik dan akan
menyebabkan pelajar itu tertarik dengan budaya barat. Di samping itu, akan tertanam dalam diri
pelajar itu tabiat (kelakuan) yang menyeleweng dari ajaran Islam. Dengan
berlalunya masa, tabiat menyeleweng ini akan menjadi sebati dengan diri pelajar
itu dan dia akan mempraktikkannya dalam kehidupannya sehinggakan dalam bab
makan minum, pakaian, cara pergaulan dan lain-lain tabiat yang buruk. Dia akan
menjadi lebih barat daripada orang-orang barat sendiri.
3.
Melonggarkan sukatan pengajian agama atas nama kemajuan akademik. Residen
Britain di Mesir Lord Krumer semasa penjajahan Britain ke atas Mesir telah melaung-laungkan slogan pembaharuan dalam
Universiti al-Azhar dengan memasukkan subjek sivil dalam sukatan pengajiannya.
Percampuran ini menyebabkan pelajar lemah dalam menguasai ilmu agama. Beberapa
sukatan pelajaran juga telah dibuang atau dikurangkan seperti subjek yang
berkaitan jihad menyebabkan ruh jihad telah hilang dalam diri pelajar Islam.
Pelonggaran sukatan pengajian agama berlaku di seluruh negara Islam dengan
tujuan untuk melemahkan pelajar-pelajar Islam.
4.
Bercambahnya institusi pengajian asing di negara Islam bagai cendawan tumbuh
selepas hujan. Tujuannya ialah untuk mengeluarkan umat Islam dari agama mereka
atau sekurang-kurangnya menyelewengkan akidah mereka. Paling kurang kesannya
ialah menghina bahasa Arab (bahasa umat Islam) dan mengagungkan bahasa asing. Penghinaan bahasa Arab
sebenarnya menghinakan agama Islam itu sendiri. Ini berlaku di negara-negara
Arab.
5.
Paling bahaya cara yang digunakan ialah percampuran lelaki dan perempuan ketika
pengajian. Mereka (golongan sekular) memulakannya di negara-negara Islam dengan
mendakwa ianya kemajuan dan kemodenan tetapi ia sebenarnya menyalakan lagi obor
nafsu manusia. Mereka juga mendakwa percampuran itu dapat mematangkan pemikiran
tetapi mereka telah tersilap kerana ia antara punca tercetusnya masalah sosial yang kronik akibat
percampuran yang tidak dikawal. Ilmu sains membuktikan percampuran sebegini
akan membawa kepada 2 keadaan :
i.
Samada ia akan membekukan nafsu seks antara 2 jantina, dengan erti kata lain,
lelaki tidak lagi bernafsu kepada wanita secara tabii tetapi lebih bernafsu kepada kaum sejenis (satu perbuatan
yang dikutuk oleh Allah s.w.t). Penyakit ini semakin menular di negara-negara
barat dan juga Amerika Syarikat.
ii.
Ataupun ia akan meransangkan lagi api nafsu. Satu eksperimen telah dijalankan
dengan meletakkan anak kucing dan anak tikus yang masih kecil dalam satu
sangkar. Kedua-duanya makan dan minum dari satu bekas yang sama sehinggalah
sampai masa "keinginan", anak kucing itu telah membunuh anak tikus dan memakannnya walapun kedua-duanya hidup
dalam satu sangkar serta makan dan minum dari bekas yang sama. Anak kucing itu
tidak lagi menaruh sifat kasihan walaupun agak lama "berdamping"
dengan anak tikus itu. Begitulah diibaratkan dengan percampuran pelajar dengan
sebebas-bebasnya tanpa kawalan, lama kelamaan akan membawa ke arah masalah
sosial. Realiti yang berlaku di negara-negara Islam adalah bukti yang nyata
betapa teruknya masalah sosial yang berlaku.
(PENYEBARAN
SEKULARISME MELALUI MEDIA MASSA)
Jikalau
sekularisasi dalam pengajian hanya melibatkan ribuan pelajar, tetapi
sekularisasi dalam media massa meliputi jutaan orang yang menonton, mendengar
dan membacanya melalui program-program yang disediakan. Setiap perkataan atau
tulisan yang baik akan menghasilkan natijah yang baik dengan izin Allah.
Manakala perkataan atau tulisan yang jahat pula akan menghasilkan natijah yang
jahat juga. Oleh itu media massa boleh berperanan untuk mengangkat martabat,
peribadi, maruah dan minda seseorang atau ia juga boleh berperanan untuk menjatuhkan
martabat, peribadi, maruah dan minda seseorang.
Realiti
yang dapat dilihat melalui televisyen, radio, wayang gambar, teater, akhbar,
majalah dan lain-lain media massa tidak banyak yang membantu perkembangan
nilai-nilai murni. Ia juga tidak membantu perkembangan minda dan pengamalan
dengan akhlak Islam. Jikalau adapun, ia hanya seperti tangkap muat dan pemanis
mulut, tidak lebih dari itu. Rancangan-rancangan televisyen yang menyiarkan
gambar separuh bogel atau "tidak sempat memakai baju dan seluar" banyak
disiarkan untuk meruntuhkan akhlak umat Islam terutamanya golongan muda mudi.
Sepatutnya media massa itu menjadi "mimbar dakwah" yang menyeru
kepada kebaikan dan menyampaikan
kebenaran, bukannya suara maksiat, medan fitnah dan kilang kerosakan sosial
masyarakat. Itulah kerja sekularisme yang berusaha menjauhkan umat Islam dari agamanya.
(PENYEBARAN
SEKULARISME MELALUI UNDANG-UNDANG)
Golongan
sekular berusaha bersungguh-sungguh untuk menjauhkan Islam dari
"kuasa" pemerintahan. Mereka akan memastikan agar undang-undang Islam
tidak dirujuk walau dalam apahal sekalipun sehinggakan Islam kelihatan tinggal
rangkanya sahaja. Ia terjadi di kebanyakan negara Islam. Di Turki contohnya,
untuk menjauhkan manusia dari Islam, mereka berusaha mensekularkan undang-undang
sedikit demi sedikit hingga akhirnya undang-undang Turki menjadi sekular dan terlerainya undang-undang
khilafah Islam. Di Mesir "pengsekularan" undang-undang dilakukan
ketika penjajahan Inggeris dengan
mewajibkan merujuk kepada undang-undang barat secara umumnya dan undang-undang
Perancis secara khususnya.
Undang-undang
Islam yang tinggal hanyalah berkaitan nikah kawin (ahwal al-Syakhsiah) atau
yang berkait dengan adat kerana ia tidak menggugat kedudukan penjajah. Umat
Islam boleh mengamalkan undang-undang ini di kalangan mereka tetapi untuk
mengamalkan undang-undang yang bersangkut paut dengan pemerintahan negara,
jenayah dan lain-lain tidak diizinkan oleh penjajah. Ini adalah perancangan
jahat golongan sekular. Mana-mana negara Islam yang ingin melaksanakan
undang-undang Islam secara menyeluruh pasti akan menerima tekanan hebat dari
pihak barat atau dari golongan sekular dalam negara itu sendiri.
Ini
adalah sebahagian perancangan yang dilakukan oleh golongan sekular untuk
memesongkan umat Islam dari beramal dengan agamanya mengikut jalan yang betul.
Sesiapa yang hatinya kosong dari ruh agama pasti menganggap sekular itu adalah
kemajuan dan kemodenan tetapi dia tidak sedar bahawa ketika dia menerima dan
mendokong sekularisme, dia telah merenggangkan ikatan tali dirinya dengan Islam
yang dianutinya. Umat Islam perlulah sedar perancangan-perancangan golongan
sekular ini agar mereka tidak terjatuh ke dalam perangkap yang akan merugikan
mereka di dunia dan akhirat.
Islam
dan sekularisme tidak akan dapat disatu dan disebatikan kerana kedua-duanya
adalah berbeza. Al-Marhum Syeikh Mutawalli Sya'rawi sebelum menghembuskan
nafasnya yang terakhir sempat berkata :
"sedarlah
bahawa tidak akan berlaku pertembungan antara hak dengan hak tetapi pertembungan hanya berlaku antara hak dan
yang batil". Maka umat islam perlulah
mengikut yang hak (kebenaran) dengan menurut segala perintah Allah s.w.t dan
meninggalkan segala laranganNya. Untuk mengetahui yang hak dan yang batil
menurut pandangan syarak, maka tugas itu biarlah dilakukan oleh ulama-ulama
yang pakar lagi ikhlas. Tidak ada jalan selamat di akhirat melainkan menerima
seratus peratus ajaran Islam yang sebenarnya mengikut al-Quran dan Sunnah
Rasulullah s.a.w.
berehat sekejap..dan ini sambungannya : klik sahaja
No comments:
Post a Comment